TOKOH MOTIVASI : USTAZAH ISFADIAH, PENDAKWAH DAN MOTIVATOR WANITA

 


Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Nama yang tidak asing dalam bidang motivasi. Seorang ikon pendakwah wanita serta motivator bertauliah. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda(Kepujian) dalam kursus Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran Sarjana dalam bidang psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1998. Jadi tidak hairanlah jika kita boleh katakan bahawa beliau merupakan seorang tokoh motivasi dan juga seorang pendakwah yang bukan sembarangan.  

Beliau merupakan seorang bekas guru di sebuah sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Agama Tinggi Hisamudin, Klang,bekas pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah berkhidmat dari tahun 2000 hingga tahun 2014 di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS) Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya Selangor.

Ustazah Isfadiah amat disenangi oleh masyarakat kerana kepakarannya menguruskan isu kekeluargaan, wanita, belia serta keibubapaan. Dalam beliau menyampaikan syarahan, beliau juga tidak lupa menyelitkan kisah-kisah Rasulullah dan para sahabat agar menjadi ibrah kepada para pendengar. Penyampaiannya juga boleh dikatakan tidak terlalu formal dan mempunyai unsur-unsur jenaka agar tidak menghilangkan mood dan konsentrasi pendengar. Beliau juga bijak mengulas pandangan dan soalan yang diajukan oleh pendengar yang mengikuti syarahannya. 


Dalam pada itu, Ustazah Isfadiah turut menulis beberapa buku yang berkaitan dengan ilmu kekeluargaan seperti buku 365 Tips Didik Anak Gaya Nabi, 365 Tips Didik Anak Soleh Solehah, Bijak Parenting 365 Tips Didik Anak Remaja dan Tabiyyatul Aulad Fi Islam (Pendidikan Anak Dalam Islam). Tambahan pula, beliau tidak asing lagi di kaca televisyen khususnya siaran di TV Al-Hijrah, Astro Oasis, TV9 dan lain-lain. 

Kini, beliau aktif dalam beberapa kerjaya antaranya ialah sebagai pengacara dalam rancangan televisyen, pendakwah bertauliah, Pengarah Akademi Keluarga Fitrah, Pengerusi Eksekutif Labbaik Travel & Tours, Naib pengerusi Dewan Dakwah, Majlis Dakwah Negara, Duta Rasmi Pertubuhan Serantau Muslim serta Ikon Dakwah YADIM.

Dalam salah satu ceramah yang diberikan, hamba tertarik dengan kata-katanya yang menyebut bahawa wanita ini mempunyai nafsu yang tinggi tetapi beliau menceritakan beberapa kisah-kisah srikandi di zaman Rasululullah sebagai contohnya Siti Fatimah, Siti Muti'ah dan Siti Zinnirah dimana ketiga-tiga srikandi ini mengurus nafsu dan mengutamakan keimanan mereka kepada Allah SWT. Masha-Allah. 

Seterusnya, hamba turut terpanggil dengan ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Ustazah Isfadiah iaitu Surah Al-Fajr ayat 27-28 ;

يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٢٧ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةًۭ مَّرْضِيَّةًۭ ٢٨

Maksudnya : "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang". "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! 

Kata-kata tersebut menyedarkan hamba bahawa dunia ini hanyalah sementara jika hendak dibandingkan dengan kampung akhirat kelak. 

Ustazah juga turut berpesan apabila diuji dengan sesuatu ujian, bersyukurlah dan beristighfarlah kepada Allah SWT sebagai tanda kita reda dengan apa sahaja perkara agar diri ini sentiasa berpegang kepada satu tujuan iaitu melakukan sebarang pekerjaan hanya kerana Allah. 

Wa Allahu A'lam. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TELEFILEM PAK NGAH HAJI OMAR, AGAMAWAN PEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

PENGARANG SASTERA: DUNIA KREATIF NURIMAS SN