PENGARANG SASTERA: DUNIA KREATIF NURIMAS SN
Nurimas SN. Dari nama penanya, mungkin kita fikirkan pengarang ini merupakan seorang wanita. Namun jangkaan tersebut meleset. Selain Nurimas SN, beliau juga mempunyai beberapa lagi nama pena seperti Lara Pesona dan S.Amir On. Ya, nama sebenar beliau ialah Haji Samiron bin Rahmat yang berasal dari Pontian, Johor. Beliau pernah menjadi wartawan di Sinar Harian, seorang kaunselor berdaftar, pengarang kreatif dan banyak mengendalikan kursus, bengkel dan kem motivasi pelajar.
Beliau merupakan seorang pengarang kreatif yang sangat prolifik. Banyak karyanya telah tersiar di pelbagai majalah antaranya di Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Berita Harian, Utusan Malaysia, Mingguan Wanita, Akhbar Amanah, Sinar Harian dan beberapa lagi media tidak kira media massa mahupun media cetak. Nurimas SN telah menceburi pelbagai genre merangkumi cerpen, novel, puisi, skrip drama radio dan rencana. Nama Nurimas SN ini memang tidak asing lagi dalam dunia penulisan karya kreatif. Oleh yang demikian, beliau juga telah membuka bengkel untuk mencungkil bakat bakat penulis muda melalui Akademi Sanggar Nurimas. Melalui akademi ini, banyak program seperti bengkel, kelas penulisan, dan penyelenggaraan penerbitan antologi cerpen dan puisi. Antara karya-karya yang telah tersiar adalah “Bidadari Mimpi” dan “Jurai-jurai Cinta” (Berita Publishing), “ Bitaranya Cinta” (Taiko Seni), Sukarelawan Nan Lima (DBP), dan Sahabat Sejati.com (DBP). Tiga buah kumpulan cerpen “Kalau Abah Dapat Gaji” (ITBM), Baju Raya Sedondon Awnis (Syihabudin), dan Aki Popular (SHE) turut terhasil. Antara karyanya yang terbaharu adalah kumpulan cerpen remaja bertajuk "Sup Meletup" yang mengisarkan tentang pelbagai topik kehidupan remaja.
Nurimas juga telah memenangi anugerah yang tidak terbilang banyaknya seperti tempat kedua seyembara menulis cerpen NST-UMS 2015, naib johan sayembara cerpen Penawan 2016, dan Sayembara Cerpen SPRM/DBP 2016. Nama beliau juga tersenarai sebagai pemenang HSKU 2016 kategori cerpen remaja dan media baharu, HSKU 2017 kategori cerpen Media Baharu, Hadiah Utama Cerpen Kanak-kanak dan hadiah penghargaan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Iman (HASD III) 2016/17, Hadiah Utama Kumpulan Cerpen Kanak-kanak dan Puisi HASDI IV 2018/19. Beliau juga Johan Sayembara Puisi UNisZA 2019. Selain itu, memenangi sayembara kearifan tempatan dan Cerpen anjuran Pelita dan DBP Wilayah Timur 2021 serta Johan Sayembara Mengarang Puisi Terengganu 2021.
Oleh itu, pengarang kreatif bukan hanya stereotaip bekerja di hadapan komputer riba sambil menaip bait-bait kata tetapi sebenarnya banyak jenis pekerjaan yang boleh dilakukan untuk menambah pengalaman untuk dijadikan bahan dalam penulisan. Bak kata pepatah 'jauh perjalanan, luas pemandangan'.
Ulasan
Catat Ulasan