TELEFILEM PAK NGAH HAJI OMAR, AGAMAWAN PEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

Pak Ngah Haji Omar 

Beliau adalah seorang wira kemerdekaan yang namanya tidaklah sama sebaris dengan pahlawan-pahlawan terkenal seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Rentap, atau lain-lain. Tetapi adakah anda tahu bahawa Pak Ngah Haji Omar juga pahlawan yang terawal yang menentang penjajah terutamanya British dan komunis?

Ya, beliaulah orangnya. Haji Omar Haji Salleh atau dikenali sebagai Pak Ngah Haji Omar merupakan anak kelahiran Langgar, Alor Setar Kedah. Beliau telah dihantar mengaji di Darul Ulum, Mekah dan berguru dengan ramai adiguru di sana. 

Sekembalinya beliau dari Mekah, beliau berusia 28 tahun dan telah mengajar di pondok pengajian yang diberi nama Raudhatul Ulum milik bapanya, Haji Salleh dan dipimpin oleh abangnya Haji Hussin. Setelah itu, beliau mendirikan sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Al-Najah di atas tanah milik mentuanya. Madrasah itu diberi nafas permodenan dengan tertubuhnya perpustakaan serta kemudahan riadah. Di samping itu, beliau juga menjadi guru silat dan mahir dalam ilmu persilatan. 

Haji Omar turut berkecimpung dalam dunia politik iaitu beliau merupakan ahli UMNO dan menyertai pilihan raya kali pertama serta berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan Jitra, Kedah. 

Hamba terpanggil untuk mencoretkan kisah Pak Ngah Haji Omar setelah menonton sebuah telefilem bertajuk Pak Ngah Haji Omar arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar yang dibintangi oleh Eman Manan sebagai Pak Ngah Haji Omar, Wan Hanafi Su sebagai Haji Hussin, Rosnah Johari sebagai Ishah(isteri Haji Omar), dan dibantu oleh beberapa lagi barisan pelakon pembantu yang menjadikan cerita tersebut menarik. Namun begitu, apa yang tertarik pada telefilem ini adalah jalan ceritanya dimana latar masanya dilakukan pada zaman sebelum kemerdekaan. Bagaimana Tanah Melayu khususnya di kawasan Jitra dijajah oleh tentera British kemudian berpindah pula kepada tentera komunis yang semakin kejam hinggalah ke saat menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Semua itu digarap dalam satu kisah menjadikan jalan cerita tersebut mudah difahami. 




Walaupun ada sedikit kekurangan yang dilihat dari segi skrip dan cinematografi daripada telefilem tersebut, namun ianya tidaklah terlalu kontra untuk dikritik. Selain itu, warisan dan budaya Melayu juga turut dimasukkan ke dalam telefilem ini iaitu unsur seni bela diri Silat. Adegan bagaimana Haji Omar menekankan bahawa silat merupakan pakaian orang Melayu yang menjadi lambang keutuhan dan tamadun orang Melayu membangkitkan semangat anak muda zaman tersebut untuk teguh mempelajari ilmu silat untuk kepentingan diri, keluarga, masyarakat, dan negara. 




  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TOKOH MOTIVASI : USTAZAH ISFADIAH, PENDAKWAH DAN MOTIVATOR WANITA

IKAN TERUBUK BAKAU CICAH AIR ASAM MENGGAMIT SELERA