ENTRI PERTAMAKU DAN PERTEMUAN PERTAMA DENGAN SASTERA
Assalamualaikum.
Dahulu, masyarakat meluahkan rasa melalui pena. Kini setelah berlalunya beberapa generasi, masyarakat lebih terbiasa mengetik papan kekunci komputer riba untuk meluahkan apa yang terbuku di dada.
Kini hamba juga begitu, lebih gemar menghadap skrin bercahaya tidak kira komputer riba, telefon pintar hadiah pemberian bonda tercinta yang kira-kira telah 4 tahun bersama mahupun tablet Samsung A8 sumbangan daripada kerajaan setelah 3 jam menunggu giliran untuk mendapatkannya. Alhamdulillah bersyukur dengan nikmat yang Allah telah beri kepadaku. Semoga dengan nikmat yang sementara ini dapat aku gunakan dengan sebaiknya untuk menuntut ilmu di Universiti Putra Malaysia sehingga tamat.
Melihat pada tajuk entri pertama hamba, sebuah potongan kata yang sudah biasa didengar. 'Tak kenal, maka tak cinta'. Seeloknya hamba perkenalkan diri hamba yang hina ini.
Nama diberi Fatin Fateha binti Ahmad. Merupakan satu-satunya puteri Allahyarham Ahmad bin Omar dan Sarimah binti Jaffar. Anak ke-4 daripada 5 adik-beradik. Anak kelahiran Wilayah Persekutuan tetapi menetap di Melaka. Dari kecil meminati perkara yang baru. Suka bertanya, terkadang seorang yang cemerkap dan suka menghabiskan masa dengan menonton drama Korea pelbagai genre.
Meningkat usia hamba 18 tahun, setelah mengambil Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) hamba bertekad untuk menyambung pelajaran diperingkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Bukan tidak mahu untuk menyambung di peringkat Diploma tetapi hati dan fikiran telah tertumpu kepada STPM. Alasannya kerana STPM merupakan laluan paling cepat untuk menyambung pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda.
Hamba mengambil keputusan untuk menyambung STPM di Kuala Selangor disebabkan pusat tingkatan enam di Melaka agak jauh daripada rumah dan hendak berjinak-jinak untuk merantau. Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor menjadi destinasi pilihan. Disamping ramai sahabat handai daripada sekolah dahulu yang mendapat tempat disana jadi mudahlah hamba mendapat kawan disana.
Pada hari pertama Hari Orientasi Kolej Tingkatan Enam, beberapa guru memberi ulasan berkenaan subjek-subjek yang didaftarkan di sekolah tersebut. Setelah beberapa orang guru menyampaikan ulasan, tibalah seorang guru wanita, kecil molek bercermin mata yang menarik perhatian hamba. Beliau memperkenalkan dirinya dengan nama Cikgu Rosmazura binti Aziz. Beliau mengajar subjek KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF. Pertama sekali hamba mendengar subjek tersebut. Mata dan telinga hamba pusatkan kepada guru muda itu. Beliau memberi ulasan dengan penuh semangat. Masih terngiang di telinga hamba beliau berkata "Cikgu ni garang kalau orang tak buat kerja cikgu, kerusi meja semua cikgu baling, lempar gitu"
Setelah mendengar bicaranya sebegitu, kecut perut hamba dan cuba melarikan mata ke arah lain. Tiba waktu pendaftaran subjek, hamba cuba untuk menolak daripada mendaftar pakej yang tertera subjek KMK yang diajar oleh guru tersebut. Namun perancangan Allah tidak dapat manusia jangka. Akhirnya hamba telah ditetapkan ke kelas yang diajar oleh guru tersebut. Guru itu juga merupakan guru kelas bagi kelas yang hamba dapat. Jadi hendak tidak hendak hamba melangkah ke kelas dengan hati yang separuh rela.
Namun jangkaan hamba meleset sama sekali. Cikgu Rosmazura merupakan guru yang baik, kreatif dan mengambil berat terhadap anak muridnya. Melalui cikgu tersebut juga hamba mula meminati sastera kerana cara pengajaran yang diajar oleh guru tersebut sangat menarik. Alhamdulillah setelah berjaya menghabiskan STPM dalam masa 3 tahun yang diuji dengan pandemik Covid-19, hamba masih lagi berjodoh dengan sastera di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kini hamba sedang berada pada tahun kedua mengambil Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian.
Natijah yang hamba dapat adalah setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang telah Yang Maha Kuasa tetapkan untuk setiap hambanya. Semoga berjumpa lagi di entri akan datang. Terima kasih kerana sudi singgah menghabiskan masa membaca blog pertama hamba. :)