24 JAM DI BUMI DARUL NAIM
23,24 Disember 2022
Rezeki untuk menjejakkan kaki di bumi Darul Naim.
Hamba telah diberi peluang untuk ke Kelantan bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Melalui badan beruniform KorSispa UPM, hamba bersama 39 lagi kadet telah pergi ke Bachok, Kelantan untuk memberi bantuan dari segi tenaga untuk membersihkan sebuah sekolah yang terjejas akibat banjir yang melanda. Perjalanan yang memakan masa anggaran 4 ke 5 jam itu agak baru bagi hamba kerana ia merupakan pengalaman pertama menaiki bas dalam tempoh masa yang lama.
Sesampainya di kawasan tersebut, kami menaiki bas kecil untuk ke sekolah tersebut berikutan laluan yang sempit dan terhad kepada kenderaan kecil. Setelah itu kami diberi sarapan sebelum memulakan tugas. Kami ditugaskan untuk membersihkan kawasan Prasekolah SK Bakong, Bachok, Kelantan. Beberapa kumpulan telah dipecahkan untuk memudahkan lagi urusan pembersihan. Sekumpulan membersihkan kawasan luar manakala selebihnya di dalam. Banyak buku-buku dan peralatan mengajar yang rosak akibat daripada banjir. Namun begitu, guru prasekolah tersebut dengan tenang dan wajah tersenyum hanya meminta agar buku-buku yang basah itu tidak dibuang. Kami hanya menurut dan membantu mencuci kerusi meja, peralatan dan lain-lain. Proses tersebut memakan masa 2 jam dan setelah itu kami dijamu dengan makan tengahari oleh warga sekolah tersebut.
Seusai makan, kami sempat mengambil gambar bersama untuk kenang-kenangan dan mereka mengucapkan beribu ucapan terima kasih dan terharu atas bantuan yang telah diberikan.
Setelah itu, kami bergerak ke Universiti Malaysia Kelantan(UMK) untuk membersihkan diri, menunaikan solat dan berehat. Hamba terpegun melihat keindahan seni bina bangunan di UMK Kampus Bachok. Bangunannya sangat memukau mata hamba tatkala memandang. Layanan daripada pelajar yang bertugas mengawasi kami juga amat baik.
Setelah sejam berehat, kami meneruskan semula perjalanan ke sebuah pantai yang diberi nama Pantai Bukit Keluang yang terletak di Besut. Namun sewaktu sampai, matahari telah mula terbenam dan ombak semakin kuat. Kami hanya dapat menyaksikan ombak membelah pantai bersama angin bayu yang bertiup. Hamba sempat merakam sepotret dua buat kenangan disitu. Indah nian ciptaan yang Maha Esa. Semoga hamba diberi peluang untuk menjelajahi dunia ciptaan Allah SWT agar hamba menjadi insan yang semakin bertakwa kepada-NYA insya-Allah.
Ulasan
Catat Ulasan