IKAN TERUBUK BAKAU CICAH AIR ASAM MENGGAMIT SELERA

 Mengintai dari tajuk entri hamba ini pasti akan anda akan membayangkan juadah tersebut dihidang bersama nasi panas dan ulam-ulaman. Masya-Allah kecur air liur. 

Ikan terubuk bakar dihidang pula bersama pasangan wajibnya iaitu air asam. Juadah ini sangat menyelerakan bagi hamba. Pulangnya hamba ke rumah langsung dihidangkan dengan juadah kegemaran ini menjadikan hamba sebak. Sungguh naluri ibu dan anak tidak dapat dipisahkan. 

Sebelum ini hamba pernah bertanya kepada bonda hamba, apakah makanan kesukaan hamba ? Bonda terdiam dan mengulit semula kenangan sewaktu hamba kecil. Katanya dahulu, sewaktu kecil, hamba sangat suka makan ikan terubuk. Tangan comel hamba ligat mencubit ikan tersebut memisahkan tulang yang berselirat keluar daripada isi. Kemudian terus menyuapkan ke mulut. Bonda bercerita sambil tersenyum mengingati peristiwa tersebut. 

Sungguh hamba tidak ingat kerana hamba masih kecil. Jadi sewaktu pulang bonda menghidangkan juadah tersebut dan barulah hamba rasa kemanisan isi ikan yang lembut apabila dicicah dengan air asam jawa kemudian lalu dikerongkong. Nikmat sungguh. 

Hamba pernah bertanyakan resepi juadah daripada bonda, bonda hanya bilang juadah itu sangat mudah di siapkan. Ujarnya senang kacang tidak sampai satu jam siap. Selepas hamba memohon lagi untuk dikongsikan resepi, barulah bonda menyenaraikannya. Bahan dan cara masakan hamba kongsikan di bawah :

BAHAN-BAHAN ;

IKAN BAKAR

- Ikan terubuk

- Garam 

- Cukup Rasa

AIR ASAM 

- Asam Jawa

- Air masak

- Cili Api

- Bawang Merah 

- Cukup Rasa 

CARA-CARA :

1. Siang ikan terubuk dan buang isi perut(tidak perlu disisik kerana bonda pesan, petua kalau nak ikan manis sisik jangan dibuang).

2. Garam dan perasakan ikan terubuk secukup rasa.

3. Bakar (orang Melaka menyebut bakau) ikan terubuk di atas kuali leper dan tutup (Tutup tudung kepala supaya dapat mengekalkan kelembapan ikan dan ikan tidak terlalu kering. 

4. Angkat ikan jika warna sisik sudah keperang-perangan atau bunyi kecuran di atas kuali mulai kurang.

5. Bancuh asam jawa dengan air masak panas kemudian tapis buang biji dan ambil airnya sahaja.

6. Potong sebiji bawang merah dalam bentuk dadu kemudian hiris nipis cili api hijau secara menyerong (Untuk menambah tahap kepedasan cili).

7. Campurkan bawang merah dan cili yang telah dipotong ke dalam air asam tadi. 

8. Perasakan dengan cukup rasa.

9. Juadah siap dihidang. 


Mudah bukan ? Benar kata-kata bonda, tidak sampai satu jam kami dua beranak dapat menikmati hidangan yang lazat bersama nasi panas. Syukur dengan nikmat yang Allah telah berikan. 

Semoga bonda hamba sentiasa dipelihara yang Maha Esa dan semoga beliau sihat hendaknya. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TELEFILEM PAK NGAH HAJI OMAR, AGAMAWAN PEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

TOKOH MOTIVASI : USTAZAH ISFADIAH, PENDAKWAH DAN MOTIVATOR WANITA