BEGAWAN ; ADAKAH IA REALITI ATAU REKAAN ?

Januari 1, 2023.

Malaysia dikejutkan dengan satu berita tergempar yang menjadikan masyarakat garu kepala dengan kes tersebut. 

Satu kes yang didapati terjadi di Melaka dimana seekor tapir betina tersesat masuk ke sebuah hotel dan berada di tingkat lima hotel tersebut. Masya-Allah. 


Pasti kita tertanya-tanya bagaimanakah haiwan seperti tapir atau nama saintifiknya Tapirus Indicus ini boleh masuk ke hotel yang berada di tengah-tengah hiruk pikuk kota? Ada yang mengatakan bahawa tapir itu telah lari daripada zoo dan terus ke kota dan beberapa spekulasi-spekulasi lain. 



Namun setelah hamba membaca berita tersebut, ingatan hamba kembali semula kepada satu cerita dalam sebuah novel karya Sasterawan Negara Arena Wati atau nama sebenarnya Muhamad Dahlan Abdul Biang yang bertajuk 'BEGAWAN'. Dalam novel ini menceritakan seorang watak iaitu Salabu yang membela seekor monyet dan kemudiannya monyet itu mengawan dengan seekor monyet betina kemudian membiak kepada cucu cicit piut hingga ke oneng. 

Setelah beberapa lama keturunan monyet tersebut semakin tidak terkawal, anak-anak monyet tersebut semakin liar dan lari ke kota dan mengacau keamanan kota. Monyet-monyet tersebut tertumpu pada satu-satu tempat seperti hotel, kondominium yang diduduki oleh manusia-manusia yang rosak. Monyet-monyet tersebut menceroboh dan mencederakan orang-orang tertentu seperti pelacur, perasuah, orang yang melakukan perbuatan tidak senonoh, berzina dan bermaksiat di dalam hotel. Orang-orang yang baik seperti keluarga bersama anak tidak pula mereka ganggu. Sungguh bijak monyet-monyet ini. 

Menurut kes tapir tadi, kebiasaan malam tahun baru, kita dikejutkan dengan kes maksiat yang berleluasa di hotel-hotel. Penuh didada akhbar yang menceritakan kisah-kisah ini sehingga jelek rasanya apabila hamba baca dan perasaan malu yang menggunung terhadap kaum sendiri yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Beristighfar hamba, semoga kita diajuhkan daripada perkara sebegini. 

Jadi boleh hamba simpulkan kemungkinan tapir yang tersesat tadi boleh diibaratkan dengan monyet-monyet yang diceritakan dalam novel Begawan yang mana tapir tersebut ingin membanteras kes-kes tadi dengan sanggup masuk ke hotel dan melakukan kekacauan agar pihak bertanggungjawab tahu bahawa kes ini perlu diselesaikan bukan hanya memandang sebelah mata. Kita tidak mahu masyarakat menyokong perkara-perkara haram yang semakin berleluasa dan hanyut dengan budaya hedonisme seterusnya menjadikan Allah murka kepada kita seperti Allah murka kepada kaum Nabi Luth. Semoga Allah sentiasa melindungi dan meredai setiap apa yang kita lakukan. Insya-Allah Aamiin.

 Wa Allahu A'lam. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TELEFILEM PAK NGAH HAJI OMAR, AGAMAWAN PEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

TOKOH MOTIVASI : USTAZAH ISFADIAH, PENDAKWAH DAN MOTIVATOR WANITA

IKAN TERUBUK BAKAU CICAH AIR ASAM MENGGAMIT SELERA