CERPEN-CERPEN KINI WAJAR MENGANGKAT MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT MAJMUK

 


16 Januari 2024 | Anjung DBP - Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Kertas kerja kursus Sastera Kanak-Kanak dan Remajaku telah ditolak oleh pensyarahku oleh kerana bahan kajianku telah ketinggalan zaman. Tajuk kajian yang aku lakukan adalah 'Gejala Sosial' kerana aku lihat remaja zaman kini semakin liar dengan gejala-gejala sosial. Isu ini hendak aku ketengahkan dalam kajian tetapi bahanku mungkin tidak padan dengan masakini. Oleh itu, aku bersama tiga lagi rakan kuliah telah bersama-sama ke DBP untuk mencari bahan baru untuk dijadikan kajian kami. 


    Pagi itu kami sampai kira-kira jam 11 ke Anjung DBP. Masuk sahaja pintu kaca itu, LENGANG, KOSONG. Kedai buku itu cuma dipenuhi buku-buku pelbagai genre. Aku merapati rak buku yang tertera tulisan 'REMAJA'. Itulah destinasi yang ku tuju. Hampir dua puluh minit aku membelek-belek novel dan cerpen remaja disitu. Kulihat tahun terbit dan sinopsis di belakang buku-buku itu. Niatnya ingin mencari isu yang lebih kurang sama seperti kajianku itu. Namun setelah membelek-belek, tanganku terhenti pada sebuah buku berwarna hijau berilustrasi Sup Tulang. Tertera tajuk bukunya 'Sup Meletup'. Dalam hatiku 'wah sedpanya sup tulang'. Aku membaca sinopsis di belankangnya, menyelak tahun terbitnya. Ya ini sesuai! Hatiku telah terpaut dengan buku dipeganganku ini. Ku peluk buku tersebut sambil mencapai sebuah lagi buku antologi cerpen terkini yang diselenggara oleh Puan Nisah Haron. Dua buku tersebut terus kubawa ke kaunter bayaran dan membayarnya. 


    Pulang daripada DBP, aku terus tekun membaca kumpulan cerpen yang ditulis oleh Nurimas SN. Satu ke satu cerpen selesai kubaca. Sungguh menarik! Detikku. Pengarang ini telah mengetengahkan unsur-unsur makanan tradisional berbilang kaum disamping cerita utama yang dikarang. Antara cerpen yang menarik minatku adalah cerpen bertajuk 'Roti Jala@Pukat Buruk', 'Air Kelapa Pandu Pak Elong dan Kangen. Ketiga-tiga ini mempunyai latar, watak dan jalan cerita yang berbeza tetapi pengarang telah mengetengahkan makanan tradisi seperti roti jala, air kelapa dan nasi ambeng. Semakin meronta-ronta jiwaku ini untuk mengarang karya-karya yang memasukkan unsur-unsur tradisi dan budaya agar lapisan masyarakat dapat mengetahui bahawa Malaysia kaya dengan pelbagai corak keunikan. Di samping itu, aku juga terliur tatkala membaca sambil menghayati pembawaan kisah-kisah yang ditulis oleh pengarang lelaki ini. 


    Sejam setengah aku menghabiskan pembacaanku. Banyak pengetahuan baharu mengenai makanan tradisi yang telah aku ketahui melalui cerpen yang ditulis oleh Nurimas SN ini. Buku ini sangat bermanfaat untuk pembacaan remaja masakini yang semakin luntur jati diri sebagai seorang anak Malaysia. Tambahan juga, aku sentiasa mengingatkan diriku supaya sentiasa bersangka baik dengan setiap perkara yang berlaku ke atas diriku dan semoga ada kebaikan yang akan ku peroleh kelak. Semoga dengan sedikit ulasan daripada buku ini dapat memberi manfaat kepada anak muda di luar sana. 



 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TELEFILEM PAK NGAH HAJI OMAR, AGAMAWAN PEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

TOKOH MOTIVASI : USTAZAH ISFADIAH, PENDAKWAH DAN MOTIVATOR WANITA

IKAN TERUBUK BAKAU CICAH AIR ASAM MENGGAMIT SELERA