MAKANAN TRADISI PERAK: GULAI MASAM IKAN TERMENUNG
Istimewa negara kita iaitu Malaysia ini ialah negara yang kaya dengan pelbagai jenis masakan dan juadah mengikut negeri. Dari juadah sarapan pagi, kepada menu makan tengahari, minum petang, makan malam sehingga minum malam. Sungguh bertuah aku dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Sebagai contoh yang dapat ku paparkan adalah ibuku yang lahir di Perak dan menetap di Selangor. Walaupun telah lama tinggal di sini tetapi jiwa dan dialek Peraknya langsung tidak dikikisnya dari kehidupan seharian.
Begitu juga dari segi menu yang dimasak dan diajarkan kepadaku. Satu menu yang aku rasa cukup ringkas tetapi sangat kena dengan tekakku. Juadah tersebut merupakan gulai masam ikan kembung. Gulai masam juga mempunyai beberapa nama lain yang dipanggil mengikut negeri seperti di Selangor, juadah ini dipanggil asam rebus, jika di Kelantan, juadah ini dipanggil singgang.
Menu yang satu ini amat ringkas dan mudah untuk disediakan. Bahan bahannya juga tidak rumit seperti menu lain. Hanya memerlukan bawang merah, cili besar, cili api, kunyit, serai, asam keping, dan beberapa cekak daum kesum. Bahan bahan seperti bawang dan cili akan dikisar atau mengikut cara masakan orang Melayu sebenar, bahan-bahan ini akan ditumbuk di dalam lesung sehingga lumat sebelum dicampurkan ke dalam air yang mendidih di dalam periuk. Sebelum terlupa, suka saya ingatkan bahawa juadah ini merupakan juadah sihat kerana tidak memerlukan minyak langsung.
Setelah bahan tumbuk dicampur ke dalam air mendidih, sebatang serai, daun kesum serta sekeping asam keping akan menyusul masuk ke dalam periuk.Jika ada bendi, boleh juga dimasukkan untuk menambah unsur vitamin dalam masakan. Akhir sekali, kita akan masukkan ikan kembung yang telah siap dibuang perut dan disiang serta penambah perasa seperti garam dan perasa. Ikan ini perlu dimasukkan di akhir kerana bimbang akan hancur jika dikacau terlalu lama.
Biarkan ia mendidih dan setelah isi ikan masak, bolehlah dihidangkan kepada ahli keluarga atau orang yang tersayang. Rasa kuah kuning yang mempunyai aroma kunyit dan maung cili api dapat menaikkan selera sesiapa sahaja yang menghirupnya. Kadang kala, ada juga yang membuat inovasi dengan menambah beberapa sudu tempoyak untuk menaikkan lagi rasa pedas manis dan masam juadah ini. Dipadukan pula dengan nasi panas dan sedikit kicap. Sungguh menambat selera!
Semoga dengan penulisan ini, masyarakat akan semakin suka untuk mencuba masakan-masakan daripada negeri-negeri jiran supaya pertalian antara sesama negeri semakin akrab.
Ulasan
Catat Ulasan